Sunday, January 31, 2010

Benarkah memasak dan mengemas tanggung jawab isteri..?

“Assalamualaikum Puan. Saya ‘S’ dari Perlis. Saya sudah berkahwin 7 tahun. Ada anak 3: 6 tahun, 3 tahun dan 2 tahun. Masalahnya isteri saya dari mula kahwin hingga sekarang malas memasak dan kemas rumah. Isteri saya seorang guru. Balik kerja isteri saya tengok tv dari pukul 2 hingga pukul 7 malam. Makan minum suami dan anak-anak tidak dipedulikan. Saya ingatkan anak-anak saja, kalau tak, dah lama saya bercerai. Tolonglah saya.”

Inilah petikan satu sms yang saya terima baru-baru ni. Luahan hati seorang suami yang tertekan dengan sikap isteri yang dikatakan malas memasak dan mengemas rumah. Sikap malas si isteri betul-betul menekan si suami hinggakan beliau berhasrat untuk menceraikan isteri, jika tidak memikirkan kebajikan anak-anak. Betapa beratnya kesan daripada sikap si isteri yang tidak melakukan kerja-kerja memasak dan mengemas rumah. Kenapa sampai begitu kesannya? Apakah memasak dan mengemas rumah memang menjadi tugasan isteri? Apakah memasak dan mengemas rumah adalah tanggungjawab isteri?

Saya teringat kata-kata Mak saya tika saya di usia remaja dan agak liat untuk membantu kerja-kerja memasak: “Orang perempuan ni, walau pandai camana sekalipun, memang tak lepas dari ke dapur.” Saya akui, memang secara lumrahnya, memasak dan mengemas rumah adalah tugasan kaum wanita. Setiap anak perempuan, apabila sudah boleh disuruh dan diharapkan untuk melakukan sesuatu maka kerja-kerja rumah akan mula diberikan kepadanya. Bermula dengan menyapu sampah, mencuci pinggan mangkuk dan akhirnya memasak. Kalau yang mempunyai pembantu rumah, mungkin tak terasa sangat bebanan tugasan ini walau diakui memang ada ibu bapa yang tetap menyuruh anak perempuan mereka mengambil tahu mengenai urusan dapur dan rumahtangga walaupun terdapat pembantu rumah dengan alasan: senang kalau dah kawin nanti.

Kembali kepada persoalan saya di awal tadi, apakah memasak dan mengemas rumah memang menjadi tugasan isteri? Apakah memasak dan mengemas rumah adalah tanggungjawab isteri? Kalau dilihat kepada tanggungjawab seorang isteri yang disenaraikan menurut tuntutan syariat, tidak tertulis pun bahawa seorang isteri perlu memasak atau mengemas rumah. Tanggungjawab dan kewajipan seorang isteri adalah untuk melayan suami pada setiap masa dan ketika. Diriwayatkan di dalam satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w: seorang wanita menunggu kepulangan suaminya ke rumah dalam keadaan dirinya berpakaian yang boleh menimbulkan keinginan suami untuk melakukan hubungan kelamin. Dijelaskan juga bahawa Rasulullah berpesan kepada para suami yang keluar dari rumah dan berjumpa dengan mana-mana wanita agar segera pulang untuk ‘bersama’ dengan isteri. Kenapa? Kerana lelaki mempunyai keinginan yang satu dan kuat dan menjadi tugas serta tanggungjawab isteri untuk melayani keinginan suami.

Ulamak juga pernah menjelaskan bahawa menjadi kewajipan seorang suami yang berkemampuan untuk menyediakan pembantu rumah kepada isterinya bagi membantu menguruskan kerja-kerja rumahtangga malah menjadi WAJIB jika isterinya itu memang berasal daripada keluarga yang sememangnya mempunyai pembantu rumah. Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah s.a.w bertindak menjahit pakaiannya sendiri malah baginda juga turut menyusun kasut. Semua huraian dan penerangan ini menjelaskan bahawa memasak dan mengemas rumah bukanlah tugasan dan tanggungjawab isteri. Dalam erti kata lain, seorang isteri tidak boleh dimarahi apatah lagi diceraikan apabila beliau enggan atau malas melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak atau mengemas.
Namun, seperti yang selalu saya jelaskan: peranan, tugas dan tanggungjawab seorang isteri adalah untuk menjaga kebajikan suaminya. Maka adalah menjadi SATU BONUS JIKA ISTERI YANG MEMASAK DAN MENGEMAS RUMAH sendiri. Masih ingat lagi perbincangan saya mengenai Rahsia Air Tangan Wanita? Ya! Seperti yang saya jelaskan, tangan wanita mempunyai rahsia yang tersendiri dan yang paling penting, air tangan wanita mampu menambat kasih sayang seorang lelaki. Saya teringat pesanan Mak saya, walau sesibuk mana pun, usahakanlah juga untuk menyediakan sendiri hidangan untuk suami kerana kasih suami akan bertambah dan ‘melekat’ jika perutnya sentiasa di isi dengan hasil air tangan isteri. Secara logiknya juga, kasih suami akan bertambah jika isteri bijak menguruskan rumahtangga, menghias persekitaran dan mampu menyediakan hidangan yang lazat dan menyelerakan. Saya pernah mengendalikan kes seorang lelaki yang kembali mencari isteri pertama yang telah diceraikan gara-gara mengikut kehendak isteri kedua yang lebih muda dan cantik, dengan alasan isteri pertamanya bijak membaca selera makannya dan pandai menyediakan hidangan yang lazat untuk dirinya.

Namun, perlu diingat! Walaupun memasak dan mengemas rumah menjadi bonus kepada isteri untuk terus menawan hati suami bukan bererti isteri perlu melakukan segalanya bagai hamba. Penat di pejabat belum habis, dah perlu mengadap urusan di rumah sedangkan suami memanjakan diri di depan televisyen atau menghitung huruf di muka akhbar. Perkara sebegini TIDAK WAJAR BERLAKU. Kerja-kerja rumah PERLU DILAKUKAN BERSAMA-SAMA ataupun lakukanlah pembahagian tugas. Jika isteri sibuk di dapur, maka suami pula uruskanlah hal anak-anak. Suami juga boleh memasukkan pakaian yang hendak dicuci ke dalam mesin basuh ataupun menjemur pakaian yang telah dicuci di ampaian. Dalam zaman serba maju ini, jika wanita dah boleh melakukan pelbagai kerja yang sebelum ini dimonopoli oleh kaum lelaki, adalah wajar jika suami juga melakukan kerja-kerja yang dulunya dilakukan oleh kaum wanita. Dalam situasi ini, ibu bapa dan masyarakat perlu faham dan tidak mencari pasal. Isu ‘queen control’ tidak boleh diwujudkan jika suami membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah.

Merujuk kepada kes di awal tadi, walaupun memasak dan mengemas rumah bukan tanggungjawab isteri tetapi sikap si isteri yang mengabaikan langsung kebajikan suami dan anak-anak memang tidak wajar berlaku. Cubalah berbincang dan cari jalan penyelesaian kerana kewajipan dan tanggungjawab seorang ibu adalah menjaga dan mendidik anak-anaknya. Ikhtiar untuk atasi masalah adalah lebih baik daripada terus lari daripada masalah.

****Siaran Mei 2007

No comments:

Post a Comment